Search This Blog

My Blog List

Thursday, December 24, 2009

Pencinta Damai Berkarya : AKU WANITA

Aku wanita
Yang sudah terbiasa
Dibelai dan dipeluk
Dicium dan dimanja
Sejak lahir ke muka bumi ini.

Peribadi ini
Teguh berpendirian
Cekal hati dan berani
Kental jiwa dan tegas
Bak kesatria muslimah
Yang berjuang di medan peperangan.

Aku wanitaWajahku manis dan ayu
Bertudung sungguh sopan
Tumitku, tapak dan jemari kakiku sentiasa tertutup
Yang hanya layak dilihat suami
Lenggok jalanku kemas ciri wanita impian
Tubuhku lampai, kemas dan mantap
Tidak menggiur tetapi cukup menggoda
Yang akan ku serahkan seluruhnya serta dinikmati
Oleh seseorang yang halal bagiku.

Namun, sejujurnya aku hanya wanita biasa
Yang inginkan kasih sayang dan peluk cium
Serta bimbingan dan kepimpinan seorang lelaki
Yang sanggup menenangkan jiwaku dikala aku menangis
Dan sanggup melayan kerenahku ketika rajukku
Yang akan mempertahan aku tatkala aku difitnah
Yang akan membaja diriku ketika suburku
Yang mampu menjadi bapa mithali kepada anak-anak yang bakal kulahirkan
Yang menjadi raja mulia bertakhta dihatiku
Yang akan menjaga dan menemaniku ketika aku terlantar tidak bermaya
Yang akan menyuap makanan ke dalam mulutku bila tangan ini tidak mampu mengangkat
Yang mampu menangkis egoku dikala aku terlupa diri
Dan bertanggungjawab serta boleh membantuku menjaga kedua ibu dan bapaku
Apabila mereka semakin tua dan lemah.

Aku wanita
Punyai harapan yang tinggi
Moga diri dikasihi
Agar dapat kuberi
Cinta yang sejati.

Aku wanita
Yang ada cinta dihati.


ROY AZLAN ACHMAD
*Tidak dibenarkan menyalin semula dalam sebarang bentuk kreatif tanpa kebenaran

Pencinta Damai Berkarya : SENJAKU MASIH BELUM BERAKHIR

Sulit menyimpan rasa hati ini
Hendak diluah nanti berat pula menanggung akibatnya
Ingin ditelan membebankan pula diri ini
Seolah menagih kasih daripada wanita itu
Sedangkan cinta yang dicita sudahpun dimiliki dan dinikmati
Yang tiada cacat celanya.

Terpaut hati ini padanya
Lantaran keserasian antara diri-diri
Kerana kepetahannya menyulam seloka
Kerana pintarnya
Dan kerana sinar matanya
Dan kerana budi pekertinya
Dan kedamaian yang terhasil daripadanya.

Walaupun laut itu luas
Ombak masih tetap memukul ke pantai
Walaupun ku bina tembok pemisah
Ombak itu pastinya kan tetap menghempas
Iman akan ikut bergoncang
Sehingga air laut tidak lagi pasang.

Ucapanmu, "Itu untuk kau carikan jawapannya"
Jika kau masih mengingatinya
Masih belum ku usahakan jawapannya.

Aku sekadar mengintipmu dari kejauhan
Sentiasa ku doakan agar kau beroleh kejayaan
Bertemu jodoh yang secocok dengan keinginanmu
Yang mampu memeluk dan mendamaikanmu sewaktu fikiranmu kusut
Dan menjadi pendinding dan pembimbing kepada anak-anakmu di dalam perjalanan agamamu.

Aku lelaki yang punya rasa cinta dihati
Namun aku bukan seperti Rossa
Kerana aku tak mampu bersumpah atas nama cinta
Dan aku tiada jua mampu bertindak atas nama petunjuk semata
Walau ia semakin jelas kini
Yang terselit pelbagai persoalan disebaliknya.

Namun begitu
Seandainya aku tahu
Kau cinta padaku
Akan ku sambut tanganmu
Dan membawamu ke taman bahagia.

Seandainya kau terus membisu
Akan ku terus mengira bintang dilangit
Sehingga ku tahu jawapannya.

Maafkan daku, sayang
Jika aku terlanjur mencintaimu.


ROY AZLAN ACHMAD
*Tidak dibenarkan menyalin semula dalam sebarang bentuk kreatif tanpa kebenaran

Pencinta Damai Berkarya : BINGKISAN & DOA

Di bumi kenyalang
Sedekad lalu halus sahaja perasaan itu
Tiadapun rasa yang membuak
Mahupun keinginan yang memuncak
Sekadar cuitan hati yang tersemai
Lantaran hembusan hidayah yang hadir entah dari mana
Seolah memeluk tubuh ini dengan helai nipis selendang putih
Selembut sutera
Lalu erat menyelimuti tubuh ini
Dengan nyaman dan kelembutan rasa cinta
Bagai dalam rangkulan seorang wanita dijiwanya penuh dengan kasih sayang
Disaat mencintai dan dicintai.

Imanku yakin semuanya ini adalah ketetapan-Nya
Akal yang berfikir lalu bertindak memimpin
Namun hati ini yang membimbing
Memerangi nafsu yang tidak pula menyanggah
Langkah kaki ini yang menjejaki
Tetapi tangan ini yang mengizinkan jari-jemari menulis
Menetapkan ilham
Lalu menanam hasrat
Bagi menyahut seruan itu.

Namun aku sekadar manusia biasa
Tidak lekang oleh ujian demi ujian di dunia ini
Yang ku tanam di taman qolbuki hanyalah tanaman harapan
Tanpa dibajai
Atau disirami dengan air mata kasih
Mahupun biasan nur cinta
Sejak itu kubiarkan diri ini hanyut
Berlalu bersama detik-detik masa
Detik-detik itu tidak akan kembali
Cuitan hati yang tersemai seketika dahulu
Sekadar tersemat di sanubari
Yang tidak pernah ku dalami
Aku hilang hidayah itu
Aku hilang rasa cinta itu
Aku lupa pengorbanan langkah kaki ini
Yang berusaha untuk menemani hati ini
Hati yang sama Yang pernah membimbing.

Ya Allah Ya Tuhanku
Izinkanlah aku melawat rumah-Mu
Izinkanlah aku membawa hatiku yang tidak pernah bersih
Dari gumpalan-gumpulan dosa ini
Untuk kau berikan keampunan kerana Engkau adalah Maha Pengampun
Izinkanlah aku pergi ke rumah-Mu dengan semangat yang tinggi
Dan pulangku seperti perwira yang berjaya memerangi musuh-musuh Islam dalam peperangan Islam yang masyhur
Yang hanya dapat dinikmati dan dikecapi oleh golongan orang-orang yang beriman dan bertaqwa
Yang tercapai hanya di dalam perasaan
Dan bukan pada perbuatan.

Cintaku kepada-Mu terlalu tinggi, Ya Allah
Inilah doaku kepada-Mu
Lalu kuiringi ia dengan linangan air mata penyesalan
Bagiku membersihkan jiwaku
Agar kau terima segala usahaku ke arah kebaikan
Dan kau berikan ganjaran
Supaya aku menjadi orang yang beriman dan bersabar.
Ya Allah Ya Tuhanku
Ku mohon agar kau berikan aku tubuh badan yang sihat
Ku mohon keselamatan diri
Ku mohon hati yang cekal agar dapat ku hadapi dugaan-dugaanmu dengan tabah dan redha
Ku mohon rezeki yang murah
Ku mohon dipermudahkan perjalanan urusan haji dan umrahku
Agar nanti dapat aku kembali ke tanahair
Sambil diiringi nur keimanan.

Inilah kembara kehidupan seorang manusia biasa
Tiada kelebihan diri yang boleh dijadikan tauladan
Untuk membimbing apatah lagi memimpin
Dengan dosa-dosaku yang menggunung
Entahkan diterima taubatku
Aku hanya mampu berusaha dan berserah.

Lambaian Kaabah...
Hati ini sudah bersedia.


ROY AZLAN ACHMAD
*Tidak dibenarkan menyalin semula dalam sebarang bentuk kreatif tanpa kebenaran

Pencinta Damai Berkarya : SYUKURLAH ANAK KITA SIHAT

Begitu girang anak-anak kecil ini
Kalau dah nampak pusat hiburan
Nak shopping pun tak jadi
Merengek dan merayu
Taktik yang sering menjadi
Kerana mak bapak yang baik hati.

Membazir duit begitulah gamaknya
Tetapi membazirkah kalau mereka dapat gembira?
Bukan selalu
Cuma sekali sekala dalam sebulan
Itupun kalau mak bapak nak bershopping sakan
Kerana hendak membeli barang keperluan.

Dulu semasa aku kecil
Mak bapak aku jarang nak melayan
Kalau terasa nak 'melenjan' dalam pusat hiburan
Walaupun aku meroyan-royan.

Tapi sekarang dah banyak hal yang berubah
Mak bapak gembira bila anak-anaknya senyum
Mak bapak syukur bila anak-anaknya aktif
Sekurang-kurangnya mereka tahu
Anak-anak mereka sihat walafiat
Dari gejala penyakit
Yang mampu merebak merentasi sempadan.

Biarlah anak-anak kita bergembira
Selagi mereka daya
Asalkan mak bapak dah maklumkan kepada mereka
Agar jangan langkah ke luar sempadan
Berhibur itu biarlah berpada
Berbelanja untuk berhibur tu janganlah terlalu sakan
Kerana kalau rosak anak
Binasalah masa depan.

Dan yang paling penting
Mak bapak harus tahu
Bagaimana untuk berterima kasih
Di atas rahmat-Nya Tuhan
Bagi segala Pemberian.


ROY AZLAN ACHMAD
*Tidak dibenarkan menyalin semula dalam sebarang bentuk kreatif tanpa kebenaran

Sunday, December 20, 2009

Pencinta Damai Berkarya : AKU SI PENCUCI LANTAI

Aku hanyalah seorang pencuci lantai
Yang berjiwa seni
Selalu menulis syair.

Semasa kecil aku degil dan malas
Emak suruh belajar
Aku keluar bermain kejar-kejar
Sekarang bila sudah dewasa
Aku tiada kelayakan besar
Maka mencuci lantai
Menjadi sumber pendapatan kasar.

Namun aku bangga mencuci lantai
Sumbanganku terhadap masyarakat sungguhlah besar
Seandainya ada muntah di lantai
Bayangkan betapa busuk dan merbahayanya situasi itu
Bayangkan bagaimana orang boleh tergelincir dan jatuh P
atah tangannya lalu masuk hospital
Berbalut dan disimen putih
Kasihan orang itu bila hendak membersihkan diri
Hendak menyuap nasi ke mulut pun akan menjadi susah
Itu belum campur kos perubatannya
Itu belum masuk lagi jika terjejas sumber pendapatannya
Aaahhh...banyak kemungkinannya jika tiada Si Pencuci Lantai.

Dan kadang-kadang aku tersenyum sendirian
Rasa nak gelak pun ada..hehehe...
Sebab bila standee kuning diletak
Orang akan berjingkit-jingkit
Bila berjalan atas lantai yang basah itu.

Aku suka bila ada orang menyapa "Terima kasih, abang! Kalau takde abang, teruklah ofis kita ni. Mesti busuk dan bersepah. Kami kerja pun tak seronok"
Maka aku berbangga menjadi pencuci lantai
Walaupun gajinya kecil sangat.


ROY AZLAN ACHMAD
*Tidak dibenarkan menyalin semula dalam sebarang bemutuk kreatif tanpa kebenaran

Pencinta Damai Berkarya : KHABAR SEORANG WARGA

Orang tua itu
Berjalan sangat perlahan
Di tepi jalan yang lapang
Tapi penuh kenderaan
Yang menderu dalam kelajuannya
Pemandunya yang mengejar waktu pejabat
Setelah melewati jam lapan.

Orang tua itu
Berpakaian biru sangat lusuh
Berseluar bermuda
Beg plastik kuning di tangan kanan
Beg kertas di kiri badannya
Mungkin sedang pulang dari mencari nafkah
Sambil menyeret selipar buruknya
Dan bernafas kencang.

Orang tua itu
Sangat kurus hingga terbongkok badannya
Dia melangkah tidak bermaya
Gambaran dirinya aib tetapi menarik perhatian.

Kasihan orang tua itu
Entahkan sudah makan
Entahkan sudah tidur
Mengapa hidupnya daif
Di manakah isterinya?
Di manakah anaknya?
Kasihan dia
Tak ramai yang ambil peduli.

Entah apakan jadi
Kepada orang tua itu
Lima tahun nanti
Masih hidupkah dia
Atau dia akan terlantar di tepi jalan
Atau di bawah jambatan
Yang hancing berbau air kencing orang
Atau berak binatang.

Atau
Mungkinkah dia akan terlantar selamanya
Di atas surat khabar semalam...


ROY AZLAN ACHMAD
*Tidak dibenarkan menyalin semula dalam sebarang bemutuk kreatif tanpa kebenaran

Pencinta Damai Berkarya : ANDAI AKU GURU

Andai aku guru
Akan kutebarkan ilmu ku
Ke segenap lapisan masyarakat
Di kampung walaupun ke hulu
Di bandar dikalangan orang yang mampu
Mahupun yang tak mampu
Ku mahu mereka ambil tahu
Tentang pentingnya ilmu.

Andai aku guru
Akan kupastikan pelajar ikut cakapku
Sebab mereka kurang tahu menahu
Tentang persekitaran yang kadang-kadang tidak menentu
Akan gejala kurang sihat
Nanti mereka buat tak tahu
Sebab mereka masih muda.

Andai aku guru
Akan aku jadi guru paling glamer
Yang menjadi sanjungan pelajar dan guru-guru
Takkan kukisah kalau aku
Dijadikan bapa angkat, abang angkat, adik angkat mahupun guru angkat
Walaupun sampai aku terangkat dek kerana glamernya aku
Aku kan tumpang bahagia kalau dapat menyatukan pelajar-pelajar ku
Mendidik mereka dalam mencari ilmu
Demi melunaskan tanggungjawabku sebagai pendidik.

Senakal-nakal mereka
Takkan kubiarkan mereka tercelaru
Oleh kerakusan mereka
Lantaran keremajaan mereka
Dalam mengenali diri
Yang giat mentafsir segala kebaikan dan keburukan
Untuk membina jati diri.

Itulah harapanku
Andai aku seorang guru
Akan kumahkotakan kepimpinanku
Sebagai lambang perjuanganku
Semoga mereka menerimanya.
Selamat Hari Guru 2009!


ROY AZLAN ACHMAD
*Tidak dibenarkan menyalin semula dalam sebarang bemutuk kreatif tanpa kebenaran

Pencinta Damai Berkarya : WAHAI MALAYSIA

Wahai Malaysia
Bercongaklah jika benar 8 Mac tarikh keramat
Kau tersedar dari lamunan yang panjang?
Jika benar itu andaiannya
Sudah mulakah meneliti Setiap inci dan kaki persegi
Halaman yang hendak diubah
Atau yang ingin diperkemaskini dan digubah semula?

Wahai Malaysia
Sudahkah kau selesai dengan isu rempit dan ragut
Sudahkah aman sengketa politik negara
Sudah bertaubatkah warga-wargamu yang pernah membunuh harapan ibu dan bapa mereka
Berkurangkah sudah warga-warga Islam mu yang dengan selambanya menayangkan aurat-aurat mereka?

Wahai Malaysia
Cukupkah peluang pekerjaan yang tersedia untuk menampung tenaga profesional negara
Sudah cukupkah bilangan rakyat negara ini yang berkolar putih
Cukup patriotikkah warga negaramu untuk bertahan apabila diserang nanti
Sudah mantapkah jenamamu untuk menarik perhatian pelabur-pelabur asing ke sini?

Wahai Malaysia
Masanya sudahpun tiba
Menempatkan warga-wargamu di posisi yang betul dan benar
Hindarkan sengketa dan duka lara
Berkredibiliti mantap
Dan semangat kental
Memperjuangkan hak dengan cekap
Dan mempertahankan apa yang patut.

Maka bangunlah Malaysia
Bangunlah
Beralihlah dikau kepada asal tujumu
Memerdekakan anak bangsamu
Dari penjajahan kronik tidak bermoral
Lagi menyesat dan menyusahkan
Agar perjuanganmu berbaloi
Dan tidak dijajah kembali.


ROY AZLAN ACHMAD
*Tidak dibenarkan menyalin semula dalam sebarang bemutuk kreatif tanpa kebenaran

Thursday, December 17, 2009

Roy Fadzill On Self Defense: TIPS & PENJELASAN

Terlalu banyak kes-kes berbahaya yang berlaku lewat ini. Samada kita sedar atau tidak, kita sering terdedah kepada anasir-anasir kurang sihat dan tidak begitu jelas motifnya. Mengapakah terdapat mangsa-mangsa yang seolah-olah teraniaya walaupun mereka berada dipihak yang tidak bersalah di mana Si Pemangsa tidak mengenali langsung akan Si Mangsa? Hairan ya? Tetapi itulah yang disebut sebagai 'keajaiban' dunia yang perlu dihadapi oleh segenap lapisan masyarakat tanpa mengambil kira umur dan status.

Maka, saya terdorong untuk berkongsi serba sedikit idea bagi menangani keadaan tersebut. Perlu dinyatakan di sini bahawa saya bukanlah seorang pakar senibela diri, tetapi hanyalah sebagai seorang "PENCINTA HARMONI". Saya merasakan eloklah kalau ilmu ini dapat dikongsi bersama-sama anda dan berharap agar usaha ini diperkenankan dan diberkati oleh Allah swt.

Berikut adalah beberapa tips yang boleh difahami dan diamalkan jika berlakunya perkara-perkara yang tidak kita redhai:

[Nota: Kolum ini akan dikemaskini dari masa ke semasa. Anda dinasihatkan untuk merujuk kepada nota "Roy Fadzill On Self Defense: TIPS & PENJELASAN" untuk mengetahui perkembangan terkini]


Tips 1: BERBINCANG
Cuba bawa berbincang dengan Pemangsa. Apakah yang dimahukannya? Duit? Maka berilah apa sahaja yang ada dalam dompet. Katakan padanya jangan diapa-apakan diri anda.

Tips 2: JERIT "TOLONG!"
Apabila anda diganggu dan tiada jalan keluar, jeritlah "TOLONG!" sekuat hati. Kemudian lari sejauh mungkin dari Pemangsa.

Tips 3: JANGAN JADI HERO
Disebabkan oleh semangat yang dipertontonkan dalam wayang dan drama, kita mungkin terdorong untuk membantu orang yang di dalam kesusahan. Anda harus bersikap fleksibel dan cermat ketika memberi bantuan. Minta bantuan orang ramai dengan menjerit "TOLONG!" sambil menuding jari ke arah kawasan insiden. Ambil kesempatan yang ada untuk membuat penilaian pantas samada persekitaran adalah selamat agar bantuan dapat diberikan sewajarnya. Dikhuatiri jika ianya adalah satu perangkap!

Tips 4: PINTU PAGAR ELEKTRIK
Disebabkan cuaca di Malaysia yang tidak menentu dan kes-kes sosial yang berleluasa, adalah dinasihatkan agar pintu pagar 'manual' anda ditukar kepada pintu pagar elektrik. Ini bertujuan memberikan kelebihan ke atas tahap keselamatan anda sekeluarga. Lebih-lebih lagi jika anda selalu pulang lewat dari kerja. Adalah dinasihatkan untuk keluar dari kenderaan anda hanya setelah pintu pagar tersebut tertutup penuh.

Tips 5: KENALI JIRAN-JIRAN
Kenalilah jiran-jiran anda yang terdekat dan simpan nombor telefon mereka. Minta mereka tengok-tengokkan rumah anda jika anda bercadang untuk bercuti. Tapi jangan lupa, bawalah balik buah tangan dan dikongsi dengan jiran-jiran anda itu.

Tips 6: NOMBOR TELEFON POLIS/BOMBA/AMBULAN
Pastikan anda menyimpan nombor-nombor ini dalam telefon bimbit anda. Manalah tahu anda mungkin memerlukannya ketika kecemasan. Atau hafalkan sahaja nombor kecemasan sedunia: "112". Tapi, jangan salah guna. Anda bakal didenda RM50,000.

Tips 7: INGAT PADA YANG TERSAYANG
Apa logiknya? Apabila anda ingatkan orang yang tersayang, anda mungkin mampu mengawal kemarahan diri ketika berhadapan dengan sesuatu konfrontasi (lebih-lebih lagi jika anda tergolong dalam golongan orang-orang yang panas baran). Ingat! Kemarahan yang tidak terbendung meningkatkan tahap kebarangkalian untuk kita memukul atau mencederakan orang lain. Sukakah anda jika orang lain mengganggu dan mencederakan ahli keluarga anda? Mungkin tidak. Maka, haruslah anda mengelakkan diri daripada mencederakan orang lain.

Tips 8: BELAJAR PANDU ALA REMPIT
Jangan salah faham. Ini bukan alasan untuk merempit. Tetapi skil yang seumpamanya mungkin berguna ketika kenderaan anda 'diserang' oleh kenderaan lain. Kebolehan untuk mencilok dicelah ruang-ruang yang terhad dengan yakin membolehkan anda melepaskan diri. Disamping itu, bunyikan hon kenderaan anda berkali-kali untuk menarik perhatian orang ramai.

Tips 9: SIMPAN ALARM KERETA DAN TELEFON BIMBIT DALAM BILIK TIDUR
Ini agak penting jika berlaku kecemasan. Alarm kereta boleh digunakan untuk menarik perhatian jiran-jiran dan telefon bimbit untuk membuat panggilan kecemasan kepada polis. Jangan lupa untuk mengunci bilik tidur anda bagi melambatkan 'tugasan' Pemangsa.

Tips 10: UNDUR KERETA BILA PARKING
Anda lebih mudah untuk bergerak keluar, yakni dengan sekali pergerakan sahaja.

Tips 11: PEKA AKAN KEADAAN SEKELILING
Ramai orang apabila berjalan tidak menghiraukan apa yang berlaku disekeliling mereka. Anda harus peka kepada sebarang bentuk perubahan kerana kecelakaan dan kesialan boleh hadir tanpa diundang, mungkin dengan tiba-tiba sahaja. Anda harus lebih "extra peka" apabila berjalan (meskipun berkumpulan) di tempat letak kereta atau disebatang jalan yang lurus.

Tips 12: WALLET DI KOCEK DEPAN SELUAR ANDA
Letakkan wallet anda dikocek depan seluar jika anda berada ditengah-tengah jalan yang sesak dengan manusia. Anda mungkin tidak menyedari kehilangan wallet, lebih-lebih lagi jika wallet anda diletakkan di dalam kocek belakang seluar yang longgar. Carilah wallet yang benar-benar sesuai - tidak terlalu besar atau kecil. Demikianlah juga dengan telefon bimbit anda.

Tips 13: JADIKAN ANGGOTA BADAN SEBAGAI SENJATA
Pada dasarnya, belajarlah mana-mana aliran seni beladiri yang sesuai dengan jiwa anda. Anda harus mengetahui kaedah-kaedah asas agar anda dapat melarikan diri dari keadaan-keadaan yang mencemaskan. Penggunaan siku, jari, penumbuk, kaki dan sebagainya adalah "senjata-senjata" yang sangat efektif jika anda tahu menggunakannya. Pelajarinya bukan untuk tunjuk hebat, hanya sebagai satu latihan jasmani dan kaedah untuk mempertahankan diri.

Tips 14: KUNCI KENDERAAN ANDA SEPANJANG MASA
Kuncilah kenderaan setiap masa, tidak kiralah samada anda berada di dalamnya ataupun tidak. Ini penting demi keselamatan anak-anak, isteri/suami mahupun harta benda anda. Kunci dan naikkan tingkap sisi kenderaan setiap kali ia berada dalam keadaan statik. Jangan lupa untuk lebih berhati-hati dan elakkan kelalaian (dikhuatiri) jika tingkap kenderaan anda tiba-tiba dipecahkan kerana kecuaian anda mempamerkan duit (walaupun syiling) atau sebarang barang yang bernilai secara terbuka.


ROY FADZILL
*Tidak dibenarkan menyalin semula dalam sebarang bentuk kreatif tanpa kebenaran

Pencinta Damai Berkarya : INSAN YANG SATU

Hujan itu turun merenyai setelah lebat ditengah malam
Bak merenjiskan kasih dipagi nan hening.

Sejuk, dingin, mendamaikan
Setelah Sang Bulan mengundur pergi
Aku masih erat dan hangat di dalam rangkulanmu
Gemalai jemarimu menyisir rambutku
Dan mengusap wajah
Lalu sangkakala kemesraan bertiup
Maka beralunlah ombak cinta
Bersama hibur tawa ria
Sehangat kasih Shah Jehan
Yang amat membahagiakan
Dalam suasana di pagi itu.

Ada aura
Yang sentiasa menyelimuti perasaan ini
Seakan ada daya
Yang sukar diungkap
Oleh segala kata-kata.

Setiap hari setelah tugasanku selesai
Aku ingin pulang awal
Untuk bermanja
Bersama belaian mesra
Dan banjiran ucapan sayang
Dengan kucupan mendamaikan
Yang tak semestinya mengghairahkan.

Ku yakini bahawa kaulah yang terakhir
Kerana taji cintaku semakin kuat terpahat
Atas nama keserasian dan kesejahteraan
Wajib bagiku menyintaimu
Walau aku dilanda kesepian
Walau ada gelombang panas
Yang terkadang menerpa
Dipantai kasih yang tidak bertirai
Cintaku takkan terbahagi.

Sambutlah perasaanku ini, sayang
Semoga kehangatan cinta kita
Mampu kekal selagi nyawa masih dikandung badan
Walaupun dihujung pernafasan
Ia akan terus mekar
Bak bunga-bunga kesukaanku
Yang berkembang mekar harum
Dan girang burung-burung yang berkicau
Seperti yang tergambar Di Taman Elise.


ROY AZLAN ACHMAD
*Tidak dibenarkan menyalin semula dalam sebarang bemutuk kreatif tanpa kebenaran

Pencinta Damai Berkarya : HANYA TIGA BULAN

Kita ini
Apabila masih hidup mesti rasa nak berlagak
Yang cantik perasan dia lawa
Yang bergaya perasan dirinya macho
Kalau boleh nak beli baju jenama G. Armani
Kalau boleh jam tangan nak jenama Tag H.
Selagi kasut tak cukup kilat, jangan dipanggil Ferragamo
Selagi hayat masih ada, hajat mesti nak pakai benda yang mahal
Nanti bolehlah tunjuk hebat
Kepada orang yang melihat.

Kita ini
Kalau tak berlakon dalam kehidupan mesti tidak sah
Ada yang sengaja tunjuk manja depan teman-teman
Bila orang lain tak panas, memandai pula kita mengipas
Patutnya kita rapatkan saf, ada pula yang tikam dari belakang
Asalnya hati itu bersih, kini menjadi kelabu asap
Ikatan yang kuat menjadi semakin rapuh
Akhirnya yang memimpin menjadi semakin hilang kawalan
Kerana amanah yang diberikan sudah terpecah berserakan.

Sampailah suatu masa
Berminggu badan kita mengalami alahan
Berjumpa kita dengan pakar ubat-ubatan
Tiba-tiba datang satu perkhabaran
Diagnosis doktor mengatakan ada penyakit dalaman "Kamu ada tiga bulan sahaja untuk hidup" Tiba-tiba terasa lumpuh sebelah tangan
Kedua-dua kaki tidak terlarat walau ingin melangkah satu tahap ke hadapan
Muka menjadi pucat penuh kelesuan
Hati berdebar
Lantas badan turut bergoncangan
Ketika itu memegang cawan pun bergetaran
Terus kita mengingat Tuhan
Yang lain-lainnya semua ditolak ke tepian.

Kalau dulu syok buat dosa, kini dah ingat tentang pahala
Kalau dulu suka menjerit kepada mak bapak/suami isteri, kini dah mula mohon maaf sambil nangis-nangis
Yang mulutnya celupar, menjadi diam membungkam
Yang bohsia dah jadi warak
Yang bawa penyakit, asyik membasuh kemaluan
Yang peminum dah mula tinggalkan amalan
Yang matanya suka mengintai, kini sekadar menjeling
Yang suka berseksi heng sana heng sini, dah mula bertudung litup lagak alim
Yang gemuk dah jadi kurus
Yang tak setia pada suami, dah mula menyusahkan suami
Yang banyak makan, sekarang dah tak lalu nak makan
Yang dulunya banyak kawan, kini menjadi keseorangan
Yang dulunya jahil, kini dah pandai pegang Al-Quran dan buku-buku agama
Kalau dulu ketepikan nasihat, sekarang dah pandai menasihat
Kalau dulu pakai parfum berbotol-botol, kini orang lain asyik tempekkan bedak sahaja
Kalau dulu ketawa berdekah-dekah macam setan, kini sekadar senyum sahaja
Dan kalau dulu merokok, kini terkulat-kulat menelan air liur dirinya pula.

Pada dasarnya kehidupan kita ini
Bila dah terkena baru tergadah
Ketika sihat kita kurang nak mengambil kisah.

Di sini kuseru
Nikmati kehidupan ini dengan kadar yang seimbang
Jangan ditolak akan segala kebaikan
Jangan dilayan akan segala kejahatan
Mudah-mudahan kita tidak perlu kekalutan
Bila hanya ada tiga bulan.


ROY AZLAN ACHMAD
*Tidak dibenarkan menyalin semula dalam sebarang bemutuk kreatif tanpa kebenaran

Pencinta Damai Berkarya : BANGSAKU MELAYU, BERBAHASA MELAYU

Perjuangan...
Betulkah namanya "perjuangan"?
Kalau dasar ingin membangunkan insan
Untuk memajukan anak bangsa negara ini
Aleh-aleh diterjah perhimpunan yang pada mulanya sah
Kemudian jadi tak sah
Memberontak membantah amalan pendidikan
Yang sudah bertahun berjalan
Baru kali ini beria-ia sangat.

Tak salah mengajar dalam Bahasa Melayu
Dan tak salah pula belajar dalam Bahasa Inggeris
Bodoh sangatkah orang kita?
Atau kejam sangatkah pemimpin kita?
Sampai kita nak buat kecoh
Dan memporak-porandakan kedamaian?

Yang membantah itu bukannya orang kampung hulu
Tapi orang bandar yang dah maju
Yang sudah biasa dengan bahasa orang putih
Selalu tengok TV dan pergi panggung wayang.

Dalam ramai-ramai itu, berapa banyak yang cop diri mereka pengamal Bahasa Melayu tulen?
Berapa ramai yang boleh bertutur seperti Datuk Seri Rais Yatim?
Kalau setakat masih "lu-gua" dan "gua-lu"
Layakkah mereka itu berjuang memartabatkan Bahasa Melayu
Seperti yang telah berlaku
Baru-baru ini?

Bagi cendekiawan yang terlibat
Janganlah dicalar perjuanganmu itu
Dengan kaedah yang begitu 'cheap skate'
Sehingga sanggup membawa isu ini atas motif perjuangan
Ke jalanan
Jangan nanti digelar "Cendekiawan Jalanan" pula
Kemudian, mana nak letak muka?

Apa salahnya menggunakan saluran yang betul
Atau dibuat press release sahaja mmm...ataupun, petisyen itu dikurierkan sahaja?
Wahai pejuang-pejuang Bahasa Melayu
Sudah sudahlah tu
Bangunkanlah bangsa dan bahasa kita
Dengan harga diri yang tinggi
Martabatkanlah ia melalui teks-teks ucapan di forum-forum antarabangsa
Tanamkan minat membaca dan jangan jadi pemalas
Jadilah orang kaya dan berpengaruh
Jadilah orang beriman dan bertaqwa
Jadilah orang cerdik dan berhemah
Jadilah orang yang penyayang dan berbudi-bahasa
Jadilah apa yang nak jadi
Jangan lupa diri
Bila dah mampu berdiri
Dan jangan buat kecoh lagi
Kasihanlah pada orang lain
Yang sentiasa berusaha memajukan diri.

Bercakaplah Bahasa Melayu elok di rumah
Gunakan Bahasa Melayu di pejabat
Tidak cacat pun bangsa kita
Kalau setakat 3 matapelajaran dalam Bahasa Inggeris
Lama-lama biasalah anak-anak kita
Mungkin lebih hebat dari kita
Bila bercakap dalam kedua-dua bahasa.

Tolonglah orang Melayu
Jangan diperlekehkan bangsa kita
Dengan aliran fikiran sempit
Malu kita digelakkan orang sebelah
Yang berlainan bangsa.

Marilah bersama-sama
Kita mantapkan bahasa dan bangsa Melayu
Marilah kita perkayakan budaya Melayu kita
Kita pasakkan jati diri orang Melayu yang hebat
Sehingga semua orang Melayu berdiri tinggi dalam masyarakat negara dan dipersada dunia Yang juga sayangkan kedamaian dan ketenteraman.

Tidak perlulah lagi kita berpedih mata
Atau berbasah lencun lagi
Ditengah-tengah jalanraya itu.


ROY AZLAN ACHMAD
*Tidak dibenarkan menyalin semula dalam sebarang bemutuk kreatif tanpa kebenaran

Pencinta Damai Berkarya : KESALKU

Ketika ku sedar dari lamunan
Seolah terpancar cahaya murni wajahmu
Walau ia cuma sekeping potret usang
Namun ia seakan begitu benar.

Ku hayunkan langkah tidak bermaya
Menuju menghadap matahari menyinar
Hangat sinarnya menerpa terus ke tubuhku
Sehangat kasih pernah kau curahkan padaku.

Aku tidak pernah menyalahkan dirimu
Kerana bertindak meninggalkan ku
Kusedar kesilapanku.


ROY AZLAN ACHMAD
*Tidak dibenarkan menyalin semula dalam sebarang bemutuk kreatif tanpa kebenaran

Wednesday, December 16, 2009

Pencinta Damai Berkarya: DUSTA JANJI

Janjimu akulah yang satu
Untukku isikan ruang hatimu
Tiada berkasih lain, tiada berteman istimewa selainku
Untukku sandarkan harapan padamu.

Janjimu menjadikan ku mahkota hidupmu
Mahkota hidup buat selamanya
Janjimu untuk bersama
Dalam suka dan duka
Yang kita bina atas dasar cinta.

Terkilan akan hidup ini
Betapa indah cinta dulu
Tapi hanya indah berupa sementara
Khabarnya indah dari rupa.

Jangan diresahkan hidupku
Dengan kata-kata manismu
Yang tak jadi kenyataan.

Tak sanggup ku terima
Hakikat kau melupakanku
Tak sanggup kuputuskan ikatan cinta
Yang telah kita bina
Duhai sang permata.


ROY AZLAN ACHMAD
*Tidak dibenarkan menyalin semula dalam sebarang bemutuk kreatif tanpa kebenaran

Pencinta Damai Berkarya: ANTARA CINTA & BAHAGIA

Dikesuraman malam aku melayani perasaan
Ku cuba mengimbau kenangan itu ketika wajahmu menjelma dikhayalan
Seolah kau berada di sisi.

Saban hari ku terkenang dikau
Akan mekar senyummu bak kuntum bunga segar
Saban hari aku turut menyambut resah
Kerana jiwa semakin tertekan dilanda bait-bait rindu
Terasa seolah teratai kan layu
Dipenghujung kolam cinta ini.

Apakah yang telah disuratkan dalam hidup ini?
Yang dahulunya cerah kini tiada tentu
Mungkinkah ku bersendiri lagi?
Oh, janganlah ia berlaku lagi.

Sayang
Mungkinkah hubungan ini akan terus terjalin?
Walaupun di antara kita ada penghalang
Tetapi bukannya kerana orang ketiga
Bukannya tentang agama
Tentunya jua bukan kerana bangsa.

Aku sedar
Bahawasanya penyakit ini tidak mungkin sembuh
Kerana ku yakini akan balasan-Nya yang setimpal dengan kesalahanku
Yang baru ini tergadah
Yang selama ini tak kisah.

Andainya...ahh...lebih baik ku katakan
Hajat untuk kita bersama hampir takkan kesampaian
Kerana penyakit ini yang ternyata terlalu jijik buatmu
Dan terlalu hanyir bagi kawanan mu.

Oleh itu, teruskanlah hidupmu
Semoga kau berbahagia ke anak cucu
Tetapi janganlah kau lupakan kenangan lalu
Kerana aku akan terus mendampingimu
Dalam tidak sedar mu itu.


ROY AZLAN ACHMAD
*Tidak dibenarkan menyalin semula dalam sebarang bentuk kreatif tanpa kebenaran

Pencinta Damai Berkarya: BERPATAH WAKTU

Inginkah aku berpatah waktu
Walau jika diberi peluang
Namun aku kan dingin
Akan kemahuan ini.

Tidak akan aku berpatah waktu
Menelusuri kenangan silam yang sama
Cukuplah sekali itu
Walau aku berpeluang mengubahnya.

Waktu itu ibarat emas
Janganlah pula dijadikan suasa
Kelak manusia akan kurang menghargainya.

Demi masa
Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian
Jika tidak mampu mendengar
Apatah lagi melihat
Melalui teropong hati.

Waktu itu
Biarlah ia berlalu.


ROY AZLAN ACHMAD
*Tidak dibenarkan menyalin semula dalam sebarang bentuk kreatif tanpa kebenaran

Pencinta Damai Berkarya: MASIH ADAKAH WAKTU UNTUK KU?

Bila siang disambut malam
Bila langit bertambah kelam
Lalu gelita menjadi tanda.

Perjuanganku semakin berakhir bila matahari berlindung
Membuka lembaran baru
Apabila rembulan menampakkan wajahnya
Bersama hembus bayu dingin
Diselitkan bersama embun malam.

Mata ku semakin layu
Semakin menurun kelopaknya
Selangkah menapak tiada lagi upaya
Bagaikan harapan bersulam kelam
Walau tugas ku masih banyak
Yang belum ku selesaikan.

Sanggupkah aku menghadapinya
Setiap detik, setiap waktu
Yang sangat nyawa-nyawa ikan ini.

Akan aku bawa diri jauh dari tekanan alam kota
Ke suasana tenang tiada ganggu untuk batinku yang semakin terseksa
Atau mungkinkah aku akan terus terganggu
Kerana iman ku yang nipis?
Moga nanti berubah segala
Ketika bermulanya episod baru dalam 'hidupku'
Tidak akan ada lagi kelibut kehidupan kali ini
Hanya penantian di barzakh
Namun aku harus terus mengharap
Agar dapat ku temu
Suatu kedamaian yang abadi.

Au revoir, bonne nuit.


ROY AZLAN ACHMAD
*Tidak dibenarkan menyalin semula dalam sebarang bentuk kreatif tanpa kebenaran

Pencinta Damai Berkarya: MANA SATU PILIHANKU

Mana satu dapatku capai antara engkau dan dia
Mana satu yang ku puja antara dikau berdua.

Mana satu yang ku cinta
Sayangku kan tetap sama
Yang mana harus ku pilih
Di antara dua insan di dalam hatiku ini.

Kelibut fikiranku untuk memilih di antara dua
Sukar bagi ku menyatakan keputusan kerana keduanya sangat ku sayang.

Oh Tuhan, tolonglah aku
Bagaimanakah harus ku pilih di antara mereka
Gusar hatiku jika tersalah pilih
Layarkanlah kepadaku suatu pedoman
Moga dapat kuberikan
Pada mereka satu jawapan.


ROY AZLAN ACHMAD
*Tidak dibenarkan menyalin semula dalam sebarang bentuk kreatif tanpa kebenaran

Pencinta Damai Berkarya: ON MY GRADUATION DAY versi Melayu

Hari ini hari bersejarah
Petang ini petang yang dinanti
Aku dijanjikan segulung scroll
Yang sudah lama ku impi.

Petang ini hujan turun
Rahmat-Nya membasahi sore
Namun tidak kuhiraukannya
Kerana aku terlalu mensyukuri
Hari yang berbahagia ini.

Pabila scroll berada ditangan
Rasminya aku sebagai graduan
Dengan jemari ku bergetar
Dengan peluh jantan membasahi
Inginku melonjak keriangan
Tapi tak berani Setakat dalam hati
He...he...he...
Kalaulah aku boleh melompat seperti kangaroo
Akan bergegar pentas itu
Nanti yang malu hanyalah aku.

Muaahhaaahhhaaa....


ROY AZLAN ACHMAD
*Tidak dibenarkan menyalin semula dalam sebarang bentuk kreatif tanpa kebenaran

Pencinta Damai Berkarya: RINTIHAN DARI BOSETA HATI

Malam kelam
Kabus embun
Meraba aku dalam gelap
Mencari sinar dari cintamu.

Malam sunyi
Bulan mengambang
Aku terhilang pedoman
Mencari erti kesetiaan.

Sebelum kita berpisah
Kau selalu disampingku
Kini ku menyedari kau tiada lagi disisi.

Terasa diriku dinoda oleh ketidaksetiaanmu
Menjalin cinta yang kininya mati.

Tidak rela diriku dilukai lagi
Cukuplah hanya sekali.

Kau membuat ku tabah menghadapi sisa cinta
Kau buatku gulana
Kau membuatku gulana.


ROY AZLAN ACHMAD
*Tidak dibenarkan menyalin semula dalam sebarang bentuk kreatif tanpa keb

Pencinta Damai Berkarya: B,A,E,I,O,U,R,P

Bba baa bboo boo bee bee bee bee
Bbee bee boo bea boo boo baa baa baa baa
Bou bou bou bbou bbou bou
Brrppp brrppp brr brr brib brib brib bri
Beau beau biu biu bee bee bee bee.

Bba baa bboo boo bee bee bee bee
Bbee bee boo bea boo boo baa baa baa baa
Bou bou bou bbou bbou bou
Brrppp brrppp brr brr brib brib brib bri
Beau beau biu biu bee bee bee bee.

Bba baa bboo boo bee bee bee bee
Bbee bee boo bea boo boo baa baa baa baa
Bou bou bou bbou bbou bou
Brrppp brrppp brr brr brib brib brib bri
Beau beau biu biu bee bee bee bee.

Brammmm baaammmmm...


ROY AZLAN ACHMAD
*Tidak dibenarkan menyalin semula dalam sebarang bentuk kreatif tanpa kebenaran

Pencinta Damai Berkarya: SEJUJUR AIR MATA DI GAZA

Pernah sewaktu waktu dahulu
Batin ini menangis menghiba
Terkadang meratap
Dikala jasad bernafas
Kerana menghirup noda-noda cinta
Yang tidak putus-putus mengganggu
Emosi diri ini.

Diri ini pernah begitu lemah
Hanya mampu menangis
Sejujur-jujurnya
Sejujur air mata warga Gaza
Yang hancur kakinya
Yang kudung tangannya
Yang buta matanya
Yang mati anaknya
Yang mati ibunya
Yang mati bapanya
Yang tiada kekuatan untuk membangkang
Sekadar membaling batu.

Oh Tuhan
Keizinan-Mu aku perlu
Untuk meluah derita batin ini
Aku tahu aku bersalah
Kerana bersungguh mengingati-Mu
Hanya ketika bencana.

Dikala bahagia
Insan seperti ku
Menganggap-Mu seadanya sahaja
Begitulah manusia seperti ku
Yang selalunya leka.

Entah mana puncanya kekuatan ini
Sudah terjatuh bangun kembali
Meniti hari menyayat dihati
Kerana mati bukan suatu pilihan.

Akan kucari pengganti
Kerana manusia hidup untuk berpasangan
Tidak perlu aku kesali
Kerana melalui pengalaman ini
Walau terpanah rasanya dihati
Seperti disiat-siat
Oleh perasaan marah, benci dan sayang.

Hati ini sudah mampu tersenyum
Lantaran iman yang menebal
Aku menjadi redha
Kerana pengalaman ku ini
Tidak segempar peristiwa di Gaza
Yang tanahnya dilimpahi darah kesatria
Pejuang-pejuang yang rela mati
Demi agama dan negara mereka
Negara mereka yang semakin tenggelam
Dalam sungai berdarah.

Pengalaman ku dan Gaza
Membuatkan aku malu
Kerana ianya terlalu berbeza.


ROY AZLAN ACHMAD
*Tidak dibenarkan menyalin semula dalam sebarang bentuk kreatif tanpa kebenaran

Pencinta Damai Berkarya: A WOMAN'S DISGUISE

It was well disguised
By your catchy eyes
Keep in you
Your sadness
Never will he traces.

It’s hard to know how you feel
If you’ve never told him, girl
To keep a broken heart
Makes you feel like crying.

The tears in your eyes
Shows the pain is in you, girl
So deep inside
You have suffered for so long
Oh girl.

Like he doesn’t care
All along
Like he never do
Love you.

But he’s crazy…crazy ‘bout you, girl
All along
He loves you
And he’ll always love you.


ROY AZLAN ACHMAD
*Tidak dibenarkan menyalin semula dalam sebarang bentuk kreatif tanpa kebenaran

Pencinta Damai Berkarya: ANAK YANG LUCU

Anak kecilku berlari-lari anak
Kuterbayangkan kisah masa yang dulu
Waktu kau mula bertatih
Tawamu penuh ceria
Mengindah suasana sekeluarga.

Kau berjalan dari pintu ke pintu
Tangan kau hayun gembira gerak lakumu
Habis semua barang dapat kau capai
Kau tarik ke bawah
Habis semua pecah kau musnahkan
Lalu apa lagi kau kena marah.

Tatihmu buat kau sungguh melucukan
Punggungmu melenggok kami ketawa
Bila berjalan lantas engkau tersengih
Menampak gigi susumu baru tumbuh.

Nantinya bila engkau dewasa kelak
Kuharapkan kau jadi orang berguna
Kepada bangsa, agama jua negara
Berkorban apa sahaja bila perlu
Lagu ini kuhadiahkan buatmu
Lagu ini kuhadiahkan buatmu.


ROY AZLAN ACHMAD
*Tidak dibenarkan menyalin semula dalam sebarang bentuk kreatif tanpa kebenaran

Pencinta Damai Berkarya : PETRONAS - HARI INI ADALAH UNTUK HARI ESOK

Mengingatkan kembali
Bahawa persahabatan ini telah lama terjalin
Dari tanah yang terdampar hingga wujudnya pembangunan
Dari lokal hingga ke glokal
Kini kita menjadi hero negara.

Kita diikat oleh impian yang sama
Bila dicabar, kita menyahut cabarannya
Bila diharap, harapan itu direalisasikan
Bila berjanji, pantang ianya tidak dikotakan
Kerana kita diikat oleh impian yang sama.

Berkhidmat, memimpin perjalanan
Kematangan, mencorak kehidupan
Pengalaman, menjangkau sempadan
Jenama ternama dijadikan kelebihan.

Menentang memang stail kita bila ada peluang
Siapa yang berani menghalang?
Kecuali takdir sudah menentukan.

Namun jika tewas sekalipun
Cebisan pengalaman itu pasti dikutip
Agar mudah untuk kita bangun kembali.

Amat penting untuk kita beriringan
Dalam menyahut seruan
Membangunkan bangsa, agama dan negara.

Hari ini, mampukah kita
Tatkala bertugas di medan perjuangan
Mengelak seranganMenepis tumbukan
Membuat kilasanSambil menyerang balas
Lantaran kepingin lawan merebut peluang
Menuntut hak peribadi mereka
Mereka sanggup berlaga di hadapan
Menghimpit dari kiri
Menyodok dari kanan
Menikam dari belakang
Sedarkah kita
Hidup kita takkan sentiasa aman?

Wahai hadirin sekalian
Selagi kita bernama 'manusia'
Selagi itulah 1001 ragam dan karenah pasti muncul
Janganlah kita berlindung di sebalik langsir kesetiaan semata-mata
Seharusnya kita berpayung
Di bawah gabungan nilai-nilai kesetiaan, profesionalisme, kejujuran dan penyatuan
Yang baik dijadikan panduan
Yang tidak dijadikan sempadan
Nescaya kita sentiasa jujur.

Dibicara ini
Aku ingin menyampaikan amanat
Amalkanlah budaya elok
Untuk esok dan lusa yang lebih baik
Bermula hari ini.


ROY AZLAN ACHMAD
*Tidak dibenarkan menyalin semula dalam sebarang bentuk kreatif tanpa kebenaran

Pencinta Damai Berkarya: KEAGUNGAN-MU

Aku merasa
Sayup angin bayu
Menyapa tubuh ciptaan-Mu ini.

Aku mendengar
Dendang alunan cengkerik
Disebalik tabir malam.

Jiwaku tenang
Setenang hati seorang insan
Yang di dalamnya tiada noda.

Kudongak ke langit
Kulihat rembulan
Bersinar penuh cahaya
Menyuluh muka bumi
Dengan segala kebanggaan.

Oh Tuhanku
Betapa agungnya di-Kau
Maha Pencipta dan Maha Kuasa
Ke atas yang bernyawa
Ke atas perkara yang bernama Makhluk.

Lalu ku congak akan kebesaran-Mu, ya Tuhan
Tiada ungkapan khusus buat-Mu
Maha Suci-Mu AllahKau terlalu agung
Kejadian-Mu terlalu mengagumkan
Begitu Maha.

Keesaan-Mu tidak terbanding
Keagungan-Mu tiada tertanding
Aku pasrah akan kebesaran-Mu, ya Allah.

Kulanjutkan doaku pada-Mu Ilahi
Selamatkanlah aku dari gangguan
Selamatkanlah aku dari godaan
Berikanlah aku kekuatan
Berikanlah aku kesihatan
Hulurkanlah padaku rezeki yang murah
Berikanlah kepadaku kenikmatan kehidupan
Agar aku dapat beramalSampai mati ku.

Ingin ku teguhkan imanku pada-Mu
Ingin ku pejalkan cintaku pada-Mu, ya Allah
Ingin ku amalkan kebaikan ke atas manusia dan makhlukmu kesekiannya
Inginku dapatkan ilham
Agar mampu aku berkarya
Atas dasar falsafah kehidupan
Dengan ku serahkan batin dan zahirku
Hanya untuk-Mu.


ROY AZLAN ACHMAD
*Tidak dibenarkan menyalin semula dalam sebarang bentuk kreatif tanpa kebenaran.

Tuesday, December 15, 2009

Blog Pertama

Inilah pertama kalinya aku mempunyai blog sendiri. Entah mengapa tergerak hati ini untuk membuka blog ini. Mungkin setelah membaca beberapa blog para sahabat, maka ilham itu hadir.

Yang dapat aku perhatikan, rata-rata di dalam bloglah orang menyampaikan isi hati mereka samada baik atau buruk, dan di dalam blog jugalah orang bertabligh (menyampaikan), yakni berkongsi ilmu samada secara langsung ataupun tidak. Dalam sedar atau tidak, para penulis blog meluahkan pendapat-pendapat dan tentang sesuatu yang mereka alami. Sekurang-kurangnya pengalaman mereka boleh dijadikan teladan mahupun sempadan buat kita semua.

Apapun, ini adalah perkembangan positif buat diri aku. Aku dapati semakin ramai orang yang menulis dengan kehadiran kemudahan blog ini. Satu trend yang baik, aku fikir. Selama mana ia mampu bertahan, wallahualam.

Kebebasan? Mungkin aku akan berpegang kepadanya. Mungkin ini adalah salah satu platform terbaik buat aku melebarkan semangat ini. Segalanya mungkin...