Search This Blog

My Blog List

Thursday, December 17, 2009

Roy Fadzill On Self Defense: TIPS & PENJELASAN

Terlalu banyak kes-kes berbahaya yang berlaku lewat ini. Samada kita sedar atau tidak, kita sering terdedah kepada anasir-anasir kurang sihat dan tidak begitu jelas motifnya. Mengapakah terdapat mangsa-mangsa yang seolah-olah teraniaya walaupun mereka berada dipihak yang tidak bersalah di mana Si Pemangsa tidak mengenali langsung akan Si Mangsa? Hairan ya? Tetapi itulah yang disebut sebagai 'keajaiban' dunia yang perlu dihadapi oleh segenap lapisan masyarakat tanpa mengambil kira umur dan status.

Maka, saya terdorong untuk berkongsi serba sedikit idea bagi menangani keadaan tersebut. Perlu dinyatakan di sini bahawa saya bukanlah seorang pakar senibela diri, tetapi hanyalah sebagai seorang "PENCINTA HARMONI". Saya merasakan eloklah kalau ilmu ini dapat dikongsi bersama-sama anda dan berharap agar usaha ini diperkenankan dan diberkati oleh Allah swt.

Berikut adalah beberapa tips yang boleh difahami dan diamalkan jika berlakunya perkara-perkara yang tidak kita redhai:

[Nota: Kolum ini akan dikemaskini dari masa ke semasa. Anda dinasihatkan untuk merujuk kepada nota "Roy Fadzill On Self Defense: TIPS & PENJELASAN" untuk mengetahui perkembangan terkini]


Tips 1: BERBINCANG
Cuba bawa berbincang dengan Pemangsa. Apakah yang dimahukannya? Duit? Maka berilah apa sahaja yang ada dalam dompet. Katakan padanya jangan diapa-apakan diri anda.

Tips 2: JERIT "TOLONG!"
Apabila anda diganggu dan tiada jalan keluar, jeritlah "TOLONG!" sekuat hati. Kemudian lari sejauh mungkin dari Pemangsa.

Tips 3: JANGAN JADI HERO
Disebabkan oleh semangat yang dipertontonkan dalam wayang dan drama, kita mungkin terdorong untuk membantu orang yang di dalam kesusahan. Anda harus bersikap fleksibel dan cermat ketika memberi bantuan. Minta bantuan orang ramai dengan menjerit "TOLONG!" sambil menuding jari ke arah kawasan insiden. Ambil kesempatan yang ada untuk membuat penilaian pantas samada persekitaran adalah selamat agar bantuan dapat diberikan sewajarnya. Dikhuatiri jika ianya adalah satu perangkap!

Tips 4: PINTU PAGAR ELEKTRIK
Disebabkan cuaca di Malaysia yang tidak menentu dan kes-kes sosial yang berleluasa, adalah dinasihatkan agar pintu pagar 'manual' anda ditukar kepada pintu pagar elektrik. Ini bertujuan memberikan kelebihan ke atas tahap keselamatan anda sekeluarga. Lebih-lebih lagi jika anda selalu pulang lewat dari kerja. Adalah dinasihatkan untuk keluar dari kenderaan anda hanya setelah pintu pagar tersebut tertutup penuh.

Tips 5: KENALI JIRAN-JIRAN
Kenalilah jiran-jiran anda yang terdekat dan simpan nombor telefon mereka. Minta mereka tengok-tengokkan rumah anda jika anda bercadang untuk bercuti. Tapi jangan lupa, bawalah balik buah tangan dan dikongsi dengan jiran-jiran anda itu.

Tips 6: NOMBOR TELEFON POLIS/BOMBA/AMBULAN
Pastikan anda menyimpan nombor-nombor ini dalam telefon bimbit anda. Manalah tahu anda mungkin memerlukannya ketika kecemasan. Atau hafalkan sahaja nombor kecemasan sedunia: "112". Tapi, jangan salah guna. Anda bakal didenda RM50,000.

Tips 7: INGAT PADA YANG TERSAYANG
Apa logiknya? Apabila anda ingatkan orang yang tersayang, anda mungkin mampu mengawal kemarahan diri ketika berhadapan dengan sesuatu konfrontasi (lebih-lebih lagi jika anda tergolong dalam golongan orang-orang yang panas baran). Ingat! Kemarahan yang tidak terbendung meningkatkan tahap kebarangkalian untuk kita memukul atau mencederakan orang lain. Sukakah anda jika orang lain mengganggu dan mencederakan ahli keluarga anda? Mungkin tidak. Maka, haruslah anda mengelakkan diri daripada mencederakan orang lain.

Tips 8: BELAJAR PANDU ALA REMPIT
Jangan salah faham. Ini bukan alasan untuk merempit. Tetapi skil yang seumpamanya mungkin berguna ketika kenderaan anda 'diserang' oleh kenderaan lain. Kebolehan untuk mencilok dicelah ruang-ruang yang terhad dengan yakin membolehkan anda melepaskan diri. Disamping itu, bunyikan hon kenderaan anda berkali-kali untuk menarik perhatian orang ramai.

Tips 9: SIMPAN ALARM KERETA DAN TELEFON BIMBIT DALAM BILIK TIDUR
Ini agak penting jika berlaku kecemasan. Alarm kereta boleh digunakan untuk menarik perhatian jiran-jiran dan telefon bimbit untuk membuat panggilan kecemasan kepada polis. Jangan lupa untuk mengunci bilik tidur anda bagi melambatkan 'tugasan' Pemangsa.

Tips 10: UNDUR KERETA BILA PARKING
Anda lebih mudah untuk bergerak keluar, yakni dengan sekali pergerakan sahaja.

Tips 11: PEKA AKAN KEADAAN SEKELILING
Ramai orang apabila berjalan tidak menghiraukan apa yang berlaku disekeliling mereka. Anda harus peka kepada sebarang bentuk perubahan kerana kecelakaan dan kesialan boleh hadir tanpa diundang, mungkin dengan tiba-tiba sahaja. Anda harus lebih "extra peka" apabila berjalan (meskipun berkumpulan) di tempat letak kereta atau disebatang jalan yang lurus.

Tips 12: WALLET DI KOCEK DEPAN SELUAR ANDA
Letakkan wallet anda dikocek depan seluar jika anda berada ditengah-tengah jalan yang sesak dengan manusia. Anda mungkin tidak menyedari kehilangan wallet, lebih-lebih lagi jika wallet anda diletakkan di dalam kocek belakang seluar yang longgar. Carilah wallet yang benar-benar sesuai - tidak terlalu besar atau kecil. Demikianlah juga dengan telefon bimbit anda.

Tips 13: JADIKAN ANGGOTA BADAN SEBAGAI SENJATA
Pada dasarnya, belajarlah mana-mana aliran seni beladiri yang sesuai dengan jiwa anda. Anda harus mengetahui kaedah-kaedah asas agar anda dapat melarikan diri dari keadaan-keadaan yang mencemaskan. Penggunaan siku, jari, penumbuk, kaki dan sebagainya adalah "senjata-senjata" yang sangat efektif jika anda tahu menggunakannya. Pelajarinya bukan untuk tunjuk hebat, hanya sebagai satu latihan jasmani dan kaedah untuk mempertahankan diri.

Tips 14: KUNCI KENDERAAN ANDA SEPANJANG MASA
Kuncilah kenderaan setiap masa, tidak kiralah samada anda berada di dalamnya ataupun tidak. Ini penting demi keselamatan anak-anak, isteri/suami mahupun harta benda anda. Kunci dan naikkan tingkap sisi kenderaan setiap kali ia berada dalam keadaan statik. Jangan lupa untuk lebih berhati-hati dan elakkan kelalaian (dikhuatiri) jika tingkap kenderaan anda tiba-tiba dipecahkan kerana kecuaian anda mempamerkan duit (walaupun syiling) atau sebarang barang yang bernilai secara terbuka.


ROY FADZILL
*Tidak dibenarkan menyalin semula dalam sebarang bentuk kreatif tanpa kebenaran

1 comment:

  1. Syabas dengan tips2 yang bernas..Saya pernah di ragut semasa sedang berjalan di depan sebuah pasaraya, tiba2 terasa handbag di tarik dengan begitu pantas,terkejut yang amat sangat,terasa menggigil seluruh tubuh!
    Hanya sempat nampak si peragut merempit dgn laju,sedih sbb barang2 yang bernilai bagi diri saya hilang begitu saja..
    Sekarang kalau nak kemana2 saya cuma memakai jeans..duit,IC serta lesen memandu semua di simpan di poket jeans!!
    Berwaspada sebelum terkena sekali lagi..

    ReplyDelete